JOM BERKAYAK 2010

Tambah peluang kerja, bantu golongan OKU

TELOK KEMANG – Ramai yang tidak tahu nasib orang kelainan upaya (OKU) di negara ini masih belum terbela sepenuhnya.

Hakikatnya, mereka sering merintih kerana sering kali menjadi mangsa kepada stigma masyarakat dan juga faktor keadaan sekeliling.

Faktor kekurangan fizikal turut menjadi alasan kepada majikan untuk menolak permohonan kerja mereka secara terang-terangan walaupun berkelayakan dan mempunyai segulung ijazah.

Pengerusi Program Jom Berkayak 2010, Yang Mulia Tunku Mohsinuddin Tunku Jamil berkata, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dilihat masih tidak memadai pada zaman era globalisasi yang serba mahal ini, malah bantuan itu hanya menjadi pengalas perut dan tidak menjamin corak kehidupan yang lebih selesa.

Menurutnya, diskriminasi atau tiada kelayakan bukan lagi menjadi persoalan kerana yang penting adalah keyakinan dan kesanggupan para majikan untuk menerima pekerja daripada golongan yang hanya mengalami sedikit kekurangan ini.

“Sebenarnya OKU adalah golongan yang kreatif dan produktif jika diberi peluang, malah kecacatan fizikal bukan merupakan halangan kepada golongan itu untuk bekerja dan apa yang penting, para majikan perlu bersikap rasional dengan menyediakan kemudahan khas kepada golongan terbabit.

“OKU juga akan bekerja dengan baik apabila mereka ditempatkan di tempat kerja yang kondusif, selesa dan selamat,” katanya. Tunku Mohsinuddin menambah, OKU lebih fokus bekerja dan ini kelebihan mereka.

“Bagaimanapun tidak dinafikan mereka juga memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dalam melakukan semua kerja yang dipertanggungjawabkan.

“Apa yang penting dalam hal ini ialah golongan OKU perlu diberi peluang terutama dalam sektor pekerjaan bagi menjamin masa depan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Pegawai Elite Disaster Rescue Malaysia (EDRM) Negeri Sembilan, Datuk Dr William Lee, atas landasan kebajikan, EDRM menganjurkan program kayak kepada OKU memandangkan pada hujung tahun ini dijangka akan ada satu lagi program berkayak perdana ke kepulauan Riau.

“Program kali ini boleh dikatakan sebagai sesi latihan kepada peserta sebelum menghadapi cabaran sebenar berkayak ke kepulauan Riau kerana ia pastinya akan mengambil jangka masa yang lebih panjang dan memerlukan banyak tenaga serta kerjasama.

“Walaupun mereka ini OKU tetapi semangat dan motivasi diri mereka tinggi, buktinya mereka mampu berkayak mengharungi ombak dan pulang dengan wajah ceria,” katanya.

Program Jom Berkayak 2010 dianjurkan EDRM dengan kerjasama Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pantai Telok Kemang, Gerakan Belia 4B Cawangan Telok kemang dan Kelab Motor Jaguh Port Dickson.

( Berita daripada Sinar Harian 7-1-2010 )